


BETONG: Jambatan Batang Saribas 1, mercu tanda baharu serta simbol kemajuan infrastruktur di Sarawak, dibuka kepada orang ramai mulai hari ini sebelum menjelang sambutan perayaan Hari Gawai Dayak.
Majlis prapelancaran jambatan bernilai RM375.5 juta itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan.
Menurut Cawangan Komunikasi Korporat JKR, pembinaan Jambatan Batang Saribas 1 melibatkan pembinaan struktur sepanjang 1.55 kilometer merangkumi laluan dua lorong, pembinaan jalan baharu serta penaiktarafan jalan sedia ada di kawasan Pusa dan Beladin.
Projek ini dilaksanakan bagi meningkatkan jaringan hubungan antara kawasan pesisir dan bandar utama seperti Betong, Sarikei dan Sibu.
Ini sekali gus menyediakan akses yang lebih efisien kepada penduduk setempat dalam menjalani kehidupan harian.
Ia menyatakan bahawa pembinaan jambatan ini juga menggantikan perkhidmatan feri yang telah lama digunakan, dan kini mengurangkan masa perjalanan antara Pusa dan Beladin daripada 30 minit kepada hanya beberapa minit.
Kejayaan pelaksanaan projek ini katanya, membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Ia turut berperanan sebagai laluan alternatif kepada Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, sekali gus memperluas rangkaian pengangkutan strategik negeri ini.
Gambar: FB JKR