
SARIKEI: Majlis Sambutan Gawai Raya Bintang Gemerlapan 2025 anjuran Kolej Komuniti Sarikei dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu telah berlangsung dengan meriah baru-baru ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kolej Komuniti Sarikei hari ini, sambutan tersebut diserikan dengan penyertaan para pelajar, pensyarah, pegawai pendidikan, serta komuniti setempat, yang bersama-sama memeriahkan majlis dalam suasana harmoni dan penuh warna-warni budaya.
“Majlis ini telah dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung, manakala Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Norasmah Jaafar, turut hadir memeriahkan sambutan.
“Ia menggabungkan dua perayaan utama iaitu Aidilfitri dan Gawai Dayak.
“Sambutan perayaan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai perpaduan serta mengetengahkan peranan Kolej Komuniti sebagai peneraju pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang inklusif dan relevan dengan komuniti,” katanya.
Sementara itu, katanya, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Ngie Tung menyifatkan majlis tersebut menyatukan pelbagai latar belakang budaya dalam satu semangat kekitaan.
“Beliau berkata, ia mencerminkan usaha berterusan institusi pendidikan dalam membina jalinan mesra antara pelajar, pendidik dan masyarakat.
“Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang majlis adalah penyampaian anugerah pelajar cemerlang, pertandingan gerai (booth) dan pakaian tradisional serta persembahan pelbagai kaum oleh pelajar sendiri.
“Lebih 100 peserta termasuk guru-guru kaunseling dari sekolah menengah sekitar Sarikei hadir menjayakan program,” katanya.
Tambahnya, sambutan tersebut turut menjadi medan strategik untuk mempromosikan TVET, menjelaskan laluan pendidikan dan kerjaya masa depan kepada para pelajar serta mewujudkan kerjasama jangka panjang antara kolej dan institusi pendidikan luar.
Oleh Earl Anek