
Barisan pemain VfB Stuttgart julang Piala Jerman. Foto AFP
BERLIN: Tiga gol awal VfB Stuttgart sudah cukup untuk memastikan kejuaraan Piala Jerman menjadi milik pasukan itu biarpun Arminia Bielefeld cuba bangkit di babak kedua.
Dalam aksi itu, VfB Stuttgart menang 4-2 ke atas lawan dari divisyen tiga itu untuk menjulang trofi Piala Jerman buat pertama kali dalam tempoh 28 tahun.
“Saya benar-benar letih. Emosi semakin memuncak. Saya tidak mampu untuk menyatakannya dengan kata-kata.
“Saya rasa ini adalah perasaan yang paling indah yang boleh anda miliki. Saya terharu,” kata pemain pertahanan Stuttgart, Maximilian Mittelstaedt.
Jaringan Nick Woltemade, Deniz Undav dan dua gol Enzo Millot menebus kekecewaan skuad kendalian Sebastian Hoeness dalam kempen Bundesliga.
Nick Woltemade, Millot dan Deniz Undav meletakkan Stuttgart 3-0 di depan sebelum rehat sebelum Millot sekali lagi menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-66.
Bielefeld merapatkan jurang menerusi pemain gantian, Julian Kania lapan minit sebelum tamat dan gol sendiri pemain Stuttgart, Josha Vagnoman pada minit ke-85, tetapi sudah terlewat untuk mencetus kebangkitan.
Kemenangan itu adalah kejuaraan Piala Jerman keempat Stuttgart dan melayakkan mereka untuk menyertai Liga Europa musim depan. Stuttgart menamatkan kempen Bundesliga di tempat kesembilan, dua mata di bawah kelayakan Eropah. – AFP