
MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan jemaah haji Malaysia kekal berada di dalam khemah dan mengelak pendedahan terus kepada cahaya matahari khususnya antara 10 pagi hingga 4 petang berikutan cuaca panas melampau dijangka mencecah 50 darjah Celsius.
Ketua Rombongan Haji (KRH) Malaysia, Mohd Hisham Harun, berkata langkah itu selaras arahan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang mengesyorkan pelaksanaan lockdown atau kawalan pergerakan jemaah di Arafah dan Mina pada waktu berkenaan, bagi mencegah risiko serangan strok haba.
“Arahan itu kami terima melalui kumpulan WhatsApp ketua-ketua rombongan haji seluruh negara dan juga ketika pertemuan saya dengan Timbalan Menteri Perhubungan Antarabangsa, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Hassan Yahya Al-Manakhrah.
“Beliau menekankan kerjasama penuh diberikan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan pengendali tempatan, Masyarik bagi memastikan jemaah kekal berada dalam khemah dan tidak keluar ketika cuaca panas terik,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Perhimpunan Petugas Haji Bersama KRH di Ibu Pejabat TH di sini, semalam.
Beliau berkata, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut menyarankan jemaah haji kekal berada di khemah masing-masing pada hari wukuf dan tidak keluar ke kawasan terbuka termasuk Masjid Namirah bagi mendengar khutbah Arafah secara fizikal.
“Sebagai langkah alternatif, pihak berkuasa Arab Saudi meminta skrin bersaiz besar disediakan di kawasan khemah jemaah untuk menonton siaran langsung khutbah Arafah,” katanya.
Mohd Hisham turut meminta semua petugas haji bersiap siaga dari segi fizikal, mental dan emosi dalam menghadapi operasi kemuncak haji, khususnya ketika pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina tidak lama lagi.
“Fokus utama TH adalah memastikan semua jemaah haji Malaysia dapat menunaikan wukuf di Arafah. Bagi jemaah sedang dirawat, kita akan laksanakan kaedah ‘safari wukuf’, iaitu membawa mereka menaiki bas ke Arafah untuk berhenti sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sebelum kembali ke pusat rawatan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua petugas menjaga kesihatan dan bekerjasama sebagai satu pasukan demi memastikan kebajikan serta kelancaran perjalanan ibadah haji jemaah Malaysia musim ini berada pada tahap terbaik.
“Kami berdoa segala perancangan dan pelaksanaan haji berjalan lancar. Petugas memainkan peranan penting dalam memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan sempurna, insya-Allah,” katanya. – BERNAMA