
SIBU: Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti orang pekak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, penglibatan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam meningkatkan kelestarian hidup rakyat Sarawak.
“Ini secara tidak langsung dapat membawa negeri ini ke tahap yang lebih tinggi dari segi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Larian Baton Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2025 di Dataran Tun Tuanku Bujang, sebentar tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu turut memuji bakat atlet pekak yang telah mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Antaranya ialah Mohd Jafar Isa, anak jati Sibu yang mewakili Sarawak dalam kejohanan bola sepak. Sebagai anak Sibu, saya amat berbangga dengan pencapaiannya,” ujar beliau.
Namun, katanya, masih ramai golongan pekak yang tersisih daripada keluarga dan terpinggir dalam masyarakat.
“Justeru, saya bersetuju bahawa acara seperti ini bukan sahaja mempromosikan Larian Baton SOPMA, malah menjadi platform penting untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada komuniti pekak agar lebih berani bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa persatuan atau NGO yang memfokuskan kepada komuniti pekak, seperti Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak, sentiasa bersedia memberi sokongan dan bantuan.
Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Horh, Ahli MPS, Michelle Law Wan Ling, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak, Ko Ming Liang, Pengerusi Penganjur Larian Baton SOPMA, Victor Hii serta yang lain.
Oleh Akun Giman