SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu mengambil inisiatif menjalankan Program Bantuan Susu Formula Bagi Anak-anak Yang Masih Menyusu dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.
Pengerusinya, Angelyn Uchi Maseng berkata, program tersebut memberikan manfaat kepada kira-kira 96 isi rumah yang mempunyai anak-anak masih menyusu.
“Program ini merupakan inisiatif SIDS Sibu untuk membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil dan masih menyusu terjejas dalam pelaksanaan PKP ini,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita semalam.
Katanya, mereka telah mengumpul senarai nama isi rumah yang terjejas di sekitar Sibu sejak 6 April lalu.
“Kami telah mengagihkan bantuan susu formula ini di sekitar kawasan Sibu, terutamanya masyarakat Dayak yang menyewa di sekitar bandar seperti di kawasan bangunan kedai dan rumah-rumah di Jalan Lanang, Jalan Bukit Assek, Jalan Tong Sang, Sibu Jaya dan sebagainya.
“Semalam sahaja, kami telah mengagihkan bantuan ini kepada 36 orang ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan masih menyusu,” ujarnya.
Menurutnya, beliau dibantu oleh tiga ahlinya iaitu Tuai Rumah Catherine Tamoh, Mundun Undau dan Senorita Salleh untuk mengedarkan bantuan tersebut mengikut kawasan masing-masing.
“Bantuan susu formula ini akan diteruskan lagi untuk fasa ketiga PKP di mana kita akan memberikan tiga hingga ke empat paket susu formula yang cukup untuk bekalan dua hingga ketiga minggu.
“Jenis susu formula yang diagihkan ini adalah mengikut permintaan ibu bapa anak-anak itu sendiri dan kami akan terus menghantarnya kepada mereka ke rumah,” ujarnya lagi.
Uchi menggesa masyarakat Dayak di bandar ini yang menghadapi masalah kewangan untuk membeli susu formula anak-anak mereka diminta supaya menghubungi beliau terus melalui WhatsApp di talian 016-8825861 atau Mundun (016-8783894).