
TATAU: Seorang individu yang mengalami komplikasi buah pinggang dan sesak nafas menerima bantuan kecemasan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tatau di Kampung Baru di sini, petang semalam.
Menurut kenyataan APM Tatau, Pusat Kawalan Operasi Unit Tatau menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4.25 petang berhubung kejadian itu.
Susulan laporan tersebut, Skuad Charlie yang terdiri daripada tiga anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan bahawa mangsa berada dalam keadaan lemah, mengalami sesak nafas dan turut menunjukkan simptom pendarahan melalui air kencing.
“Pasukan APM segera melengkapkan diri dengan pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum memindahkan mangsa ke dalam kenderaan operasi,” katanya.
Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Tatau dan diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.