

PETRA JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini mencalonkan semula Senator Dato’ Ahmad Ibrahim,56, sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua.
Tempoh penggal semasa beliau dijadualkan tamat pada 22 Julai 2025, namun pencalonan semula dilakukan lebih awal bagi mematuhi jadual persidangan DUN semasa.
Cadangan itu dikemukan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bagi mewakili negeri ini untuk tempoh kedua.
Katanya, pengalaman luas Ahmad dalam bidang kemasyarakatan, perbankan, pengurusan perniagaan, dan politik sejak kembali ke tanah air.
Sementara itu dalam sidang media selepas pencalonan diumumkan, Ahmad merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri dan Premier Sarawak dan semua pihak atas kepercayaan yang diberikan.
“Ini bukan sekadar penghormatan peribadi. Ia adalah amanah besar — untuk terus membawa suara rakyat Sarawak, mempertahankan hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memastikan kepentingan wilayah ini diangkat dalam sistem Persekutuan,” katanya.
Senator Ahmad, yang juga Naib Presiden Majlis Senator Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dikenali sebagai seorang tokoh yang lantang memperjuangkan isu-isu berkaitan MA63, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO), Pengukuhan peranan Petros serta autonomi dan keadilan pembangunan wilayah.
Sepanjang penggal pertamanya, beliau aktif mengambil bahagian dalam perbahasan dasar, perundangan dan program akar umbi melibatkan belia, NGO dan pemimpin masyarakat — menjadikan suara Sarawak didengari dengan lebih jelas di Dewan Negara.
“Saya tegaskan komitmen penuh saya untuk terus berkhidmat dengan integriti, melangkaui batas parti, dan dengan semangat cinta kepada negeri dan rakyat,” tambahnya.
Pencalonan semula ini memastikan kesinambungan suara Sarawak di Dewan Negara dan selaras dengan peruntukan perlembagaan yang menetapkan pelantikan semula dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri.
Oleh Amanda L.