
PETRA JAYA: Bencana banjir besar yang melanda Sarawak beberapa bulan lalu mencetuskan keperluan untuk menaik taraf beberapa jalan utama, termasuk jalan di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, antara laluan yang paling terkesan ialah Jalan Tingkas (Skoyan ke Sitieng) yang menjadi nadi perhubungan kepada penduduk kawasan Ulu Mukah.

Beliau berkata, laluan ini sering dinaiki air terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut, sekali gus menjejaskan akses kepada perkhidmatan asas dan bantuan kecemasan.
“Saya ingin mencadangkan agar jalan di kawasan tersebut dinaik taraf segera supaya laluan ini kekal dapat diakses walaupun ketika musim hujan kerana saya percaya langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya tahan infrastruktur kita terhadap bencana, malah menjamin kebajikan rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Ucapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa pelaksanaan projek pembinaan jalan penghubung dari Bukut ke Sungai Bawan sehingga ke Pusat Pertubuhan Desa (RGC) Balingian, yang dijangka memberi manfaat langsung kepada lebih 3,500 penduduk daripada 38 rumah panjang di bawah pentadbiran Daerah Kecil Balingian dan kawasan DUN Kakus.
“Pembinaan jalan ini akan mempercepatkan masa perjalanan dan aksesibiliti antara kawasan pedalaman dan pusat pentadbiran, sekaligus memudahkan penduduk, khususnya dari kawasan Bukut dan Ulu Arip di bawah DUN Kakus, untuk menjalankan urusan rasmi di Pejabat Daerah Kecil Balingian serta pejabat-pejabat kerajaan lain yang terdapat di Pekan Balingian,” jelasnya lagi.
Selain itu, isu kekangan jalan kampung yang sempit turut disentuh, melibatkan lebih 15 buah kampung termasuk Kampung Litong, Kampung Tanjung, Kampung Jebungan dan Kampung Teh Labak. -UKAS