

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak mencapai persefahaman dalam isu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) melalui pemeteraian satu deklarasi bersama hari ini.
Deklarasi bersama berkenaan ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Perdana Putra.
Dalam sidang media bersama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemeteraian satu persefahaman yang baik mengenai Petronas dan Petros adalah untuk memajukan Malaysia dan Sarawak.
“Ia melalui dua syarikat besar iaitu Petronas dan Petros. Perkara ini dari segi prinsip telah lama disepakati seperti mana saya rundingkan dengan Premier waktu itu mengenai parameter yang jelas menerima kenyataan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) untuk Sarawak.
“Maknanya, keadaan terkini menuntut kita menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang, lebih matang dan lebih mempunyai keupayaan termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang mempunyai potensi besar,” kata beliau.– BERNAMA