
PETRA JAYA: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Sutera Sanctuary Lodges (SSL) hari ini memeterai Perjanjian Konsesi bagi pengurusan serta penambahbaikan perkhidmatan pelancongan di dua kawasan perlindungan ikonik Sarawak, Taman Negara Niah, yang kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dan Taman Negara Tanjung Datu.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran, dan Presiden SSL, Dato’ Zarazilah Mohd Ali, serta disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Perjanjian konsesi selama 20 tahun itu, dengan pilihan lanjutan tambahan selama 20 tahun, memberikan hak kepada SSL untuk mengendalikan operasi serta membangunkan perkhidmatan penginapan dan makanan di kedua-dua taman negara berkenaan.
Inisiatif ini selari dengan visi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sektor ekopelancongan, mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti, dan memelihara warisan semula jadi serta budaya negeri.
SSL, yang mempunyai rekod cemerlang dalam pengurusan fasiliti pelancongan berasaskan alam semula jadi di Sabah seperti Taman Kinabalu, Rumah Rehat Laban Rata, Pulau Manukan dan Poring Hot Springs, kini membawa kepakaran dan model pelancongan-pemuliharaan bertaraf antarabangsa ke Sarawak.
Di Taman Negara Niah, SSL dijangka memulakan kerja pengubahsuaian menjelang akhir 2025, termasuk pembinaan kemudahan seperti penginapan, restoran, kolam renang dan bar, dengan pendekatan yang mengekalkan integriti sejarah serta alam sekitar tapak arkeologi berusia 40,000 tahun itu.
Sementara itu, di Taman Negara Tanjung Datu, yang terkenal dengan pantai semula jadi dan kepelbagaian biodiversitI, pembangunan dalam tempoh tiga tahun akan datang melibatkan pembinaan eco-retreat butik yang menampilkan vila persendirian, spa, restoran dan pelbagai kemudahan premium.
Reka bentuk pembangunan akan menekankan elemen seni bina lestari, penyejukan pasif, prinsip Biofilik dan pembinaan berimpak rendah yang serasi dengan alam sekitar.
Kerjasama awam-swasta ini mencerminkan strategi jangka panjang Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pengurusan kawasan perlindungan sambil merangsang ekonomi tempatan menerusi pelancongan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta ketua-ketua jabatan kerajaan.
Oleh Masrin Affirah