
PETRA JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meneruskan inisiatif kebajikan menerusi Program Ziarah MADANI 2025 dengan menyantuni penggiat industri seni veteran di Sarawak yang menghadapi masalah kesihatan dan uzur.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan FINAS dalam menjaga kebajikan penggiat industri kreatif, khususnya mereka yang uzur dan memerlukan perhatian.
Antara penerima sumbangan dalam program kali ini ialah tokoh seni berpengaruh di Sarawak, termasuk penulis veteran Abang Zainoren Jess, Muhammad Nazrin Luat Abdullah, Kassim Daud dan Hassani Ismail.
Para penerima sumbangan ini disantuni kerana telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan industri kreatif tempatan.
Abang Zainoren Jess, yang memiliki pengalaman lebih 48 tahun dalam bidang penulisan, meluahkan rasa terharu atas keprihatinan FINAS terhadap nasib penggiat seni veteran.
“Saya berasa amat terharu dan berterima kasih kepada FINAS kerana membantu kami dan memberi sumbangan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan baharu sahaja menjalani rawatan hospital akibat masalah jantung dan kini dalam proses pemulihan.
Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi FINAS, Dato’ Hans Isaac, yang turut menyatakan komitmen untuk meneruskan program ini ke negeri-negeri lain sebagai sebahagian usaha menyeluruh memperkasa serta menghargai jasa para penggiat seni tanah air.
Program Ziarah MADANI dilihat sebagai satu inisiatif bermakna yang bukan sahaja menghargai jasa generasi terdahulu, tetapi juga memperkukuh solidariti dalam kalangan warga industri kreatif negara.
Oleh Norman B.