ZARINA ABDULLAH
KOTA SAMARAHAN: Seramai 9,590 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan DUN Muara Tuang akan menerima bantuan makanan asas dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang berkata, beliau berharap penduduk di konstituensi berkenaan bersabar dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari masa ke semasa bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Semalam, saya bersama Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang telah menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan asas dan keperluan lain kepada 50 penduduk di Kampung Sungai Tanju.
“Para petugas telah menggunakan perahu untuk menyeberangi Sungai Beliong dan seterusnya menaiki kereta kira-kira 20 minit untuk sampai ke Kampung Sungai Tanju bagi tujuan penyerahan bantuan bekalan makanan asas kepada penduduk,” katanya Selasa lepas.
Simbolik penyerahan bantuan makanan asas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Tanju telah disampaikan oleh wakil Marqas Operasi DUN Muara Tuang.