KUCHING: Secara keseluruhan Sarawak berada di dalam keadaan selamat dan terkawal dengan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri adalah 95 peratus.
Timbalan Ketua Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah berkata, bagaimanapun, tahap pematuhan itu perlu ditingkatkan melalui peningkatan pemantauan dan kawalan terutama di kawasan yang diisytiharkan zon merah.
“Hari ini sudah masuk hari ke-15 tempoh PKP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan 95 peratus rakyat Sarawak mematuhinya.
“Semalam polis telah menangkap 36 orang di Sarawak kerana melanggar PKP. Manakala 67 orang telah dituduh di Mahkamah pada 31 Mac lalu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Tangkapan semalam, katanya, mengikut daerah menyaksikan Miri mencatatkan kes tertinggi dengan 10 tangkapan, diikuti Sibu (7), Kuching dan Padawan masing-masing (6), Lubok Antu (3), Song (2), Kota Samarahan (1), dan Marudi (1).
“Manakala pecahan bagi pertuduhan mengikut daerah menyaksikan Kuching tertinggi dengan 30 orang, Miri (11), Bintulu (6), Sibu, Padawan dan Bau masing-masing (5), Limbang (3), Lawas (1), dan Lubok Antu (1),” ujarnya.
Menjawab pertanyaan pemberita adakah Sarawak sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan gelombang ketiga Covid-19, Uggah berkata Kerajaan Negeri berharap tiada gelombang ketiga.
“Sebab itulah Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menklasfikasikan Sarawak kepada tiga zon.
“Dengan itu, kita akan melakukan beberapa strategi termasuk memperketatkan PKP terutamanya di zon merah bagi membendungn penularan wabak ini.
“Ini kerana kita mahu memutuskan rantaian wabak daripada masuk ke kawasan zon hijau. Inilah sebab mengapa larangan pergerakan antara daerah adalah sangat penting,” tegasnya.
Jelasnya, program seperti nyahkuman dan sekatan pergerakan dilaksanakan antara strategi penting.
“Di Kuala Lumpur, mereka juga telah memutuskan bahawa terdapat beberapa kawasan yang memerlukan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) supaya apa yang berlaku di sana tidak merebak ke kawasan luar.
“Itu juga mengapa pematuhan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara daerah adalah penting,” jelasnya.
Uggah juga mendedahkan kerajaan negeri kini mempunyai kapasiti untuk melakukan 2,000 ujian Covid-19 setiap hari di Kuching dan akan diikuti Sibu dan Miri.
“Dalam erti kata lain, keupayaan untuk menguji pesakit telah meningkat dengan ketara dan kami menyeru orang ramai yang mempunyai hubungan langsung dengan kes positif Covid-19 untuk melakukan saringan dan tidak menunggu sehingga gejala timbul. “Di Kompleks Belia dan Sukan, kita mempunyai kawasan untuk pesakit yang mempunyai gejala dan tanpa simptom, dan berharap semua orang akan memainkan peranan mereka,” tegasnya.