SARIKEI: Sebanyak 87 projek berjumlah keseluruhan RM1.525 bilion telah dicadangkan dan mendapat kelulusan Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) pada 16 Julai 2024.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang juga Pengerusi RADDA berkata, projek tersebut juga sebenarnya telah diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diatas dokumentasi ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu RADDA.
“Daripada 87 projek tersebut, sebanyak 27 projek telah mendapat kelulusan juruperunding pihak Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) dan empat projek lagi sudah mendapat kelulusan secara kelulusan sebahagian (jururunding survei sahaja).
“Sebanyak 12 projek pula melibatkan perunding dalaman oleh agensi pelaksana. Agensi pelaksana ini adalah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kementerian Perindustrian dan juga majlis kerajaan tempatan seperti Majlis Daerah Matu Daro (MDMD), Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dan Majlis Daerah Sarikei (MDS),” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu RADDA di bilik mesyuarat pejabat Residen Sarikei, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei hari ini.
Dalam pada itu, katanya, 34 projek masih di peringkat pemilihan konsultan oleh pihak agensi pelaksana dan 10 projek lagi dalam proses pencalonan juruperunding.
“Alhamdulillah, kita sudah menerima taklimat daripada ketua-ketua jabatan dan agensi pelaksana tadi, memanglah kita tidak juga 100 peratus gembira dengan kemajuannya.
“Bagaimanapun, kita faham dari segi kekangan dan keperluan untuk mematuhi proses dan prosedur pelantikan jururunding, pelantikan tender, kontraktor dan sebagainya.
“Kita mesti memberi penekanan pada kerjasama di antara semua agensi supaya pelaksanaan kesemua projek ini berjalan dengan teratur dan lancar.
“Kerjasama semua pihak dari segi pelaksana untuk projek-projek ini amat penting dan pada masa sama mematuhi syarat-syarat supaya integriti kesemua projek dan pelantikan memenuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Menjawab soalan media, katanya, kebanyakan projek dibawah RADDA adalah jalan raya, bangunan seperti dewan masyarakat, stadium tertutup, stadium terbuka dan sebagainya.
“RADDA juga memberi peruntukan pembangunan infrastruktur untuk pertanian,” katanya.
Oleh Earl Anek