
KABONG: Sebanyak 85 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Daerah Kabong telah menerima kelulusan dana berjumlah RM8.3 juta keseluruhan melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata peruntukan yang disalurkan itu melibatkan bantuan untuk pertanian, projek lembu dan kambing idiot, pengangkutan, sewaan kanopi, sewaan sistem audio, peruncitan, ternakan ikan air tawar, fertigasi halia, kraf tangan dan bidang pelbagai.
“Daerah Kabong merupakan antara daerah yang tertinggi memperolehi kelulusan Projek SejaTi MADANI melibatkan sebanyak 85 JKKK dengan peruntukan keseluruhan RM8.3 juta.
“JKKK hendaklah memastikan peruntukan yang disalurkan itu diuruskan sebaik mungkin demi manfaat JKKK dan penduduk setempat.
“Apabila sesebuah JKKK mempunyai kewangan yang kukuh kerana urus tadbir yang baik, ia mampu memberi kemudahan kepada masyarakat setempat,” katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Aidilfitri dan Pelancaran Projek SejaTi MADANI Daerah Kabong di Pejabat Daerah Kabong, hari ini.
Chee Kadir berkata sekiranya sesebuah JKKK tidak mempunyai kepakaran untuk tadbir urus dan mengembangkan kewangan, pergilah mendapatkan nasihat serta pandangan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pakar berkaitan.
“Jangan malu bertanya dan pergilah mendalami ilmu pengurusan akaun serta perniagaan.
“Saya yakin apabila JKKK mempunyai kepakaran urus tadbir kewangan, ia akan menjadi JKKK yang kuat dan berkembang maju hingga mampu membantu masyarakat secara menyeluruh,” ujarnya.
Turut hadir ADUN Krian, Friday Belik, Pegawai Daerah Kabog, Tahir Sharee dan Datin Meryani Yassin.
Oleh Adi Saparman