
BINTANGOR: Seramai 84 individu diperiksa dalam operasi bersepadu pencegahan jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di beberapa kawasan tumpuan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata operasi tersebut diketuai Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar sebagai pegawai medan dengan dibantu SI Jivson Rockson Chin Chang selaku penolong pegawai medan melibatkan kekuatan seramai 16 pegawai dan anggota.
“Tumpuan operasi merangkumi rondaan berkereta dan pelaksanaan pemeriksaan mengejut di beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Kelupu, Jalan KJD, Jalan Bakong, Jalan Kilang, Taman Bintang, Taman Alomara, Jalan Tulai, Taman Paris Height, Taman Vynyrd Residen, Kampung Melayu serta Tanjung Genting.
“Selain itu, sekatan jalan raya turut dijalankan di Jalan Selidap/Meradong bagi memantau dan mengawal pergerakan keluar masuk ke kawasan Bintangor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, sepanjang operasi dijalankan, seramai 50 lelaki dan 34 wanita telah diperiksa.
Tambahnya, pemeriksaan turut melibatkan 72 kenderaan terdiri daripada motosikal, kereta, van, kenderaan pacuan empat roda dan lori.
“Hasil operasi, sebanyak enam saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Tiada tangkapan atau rampasan direkodkan sepanjang operasi tersebut,” katanya.
Tambahnya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi mencegah dan membanteras jenayah termasuk kes kecurian, penyalahgunaan dadah, perjudian serta aktiviti tidak bermoral, di samping meningkatkan kehadiran polis (omnipresence) bagi memberi keyakinan kepada masyarakat setempat.
“Pihak polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek