SIMANGGANG: Sebanyak 807,603 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sudah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia dilakukan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN).
“Angka ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan Program Inisiatif Baharu Penyukatan Tanah NCR menunjukkan perkembangan amat memberangsangkan sejak dilaksana 12 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan dekat sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Awang Tengah berkata, keseluruhannya 600,000 hektar daripada 1.6 juta hektar tanah NCR di negeri ini masih belum menjalani proses sukatan di bawah Seksyen 6 KTN.
Katanya, sejak Program Inisiatif Baharu Penyukatan Tanah NCR diperkenal pada 2010, sejumlah 1,054,521 hektar sudah pun berjaya disukat menjelang 30 September tahun ini.
Selain itu, katanya, 57,582 lot tanah NCR yang melibatkan keluasan 72,582 hektar berjaya selesai diukur di bawah Seksyen 18 KTN, juga menjelang 30 September lalu.
Daripada jumlah itu, 23,631 surat hak milik sudah didaftar dengan keluasan surat hakmilik yang didaftar di bawah seksyen tersebut adalah 35,999 hektar.
“Perkembangan ini juga jelas membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam mengiktiraf tanah NCR milik rakyat dengan peruntukan tambahan RM40 juta diluluskan pada 2019 bagi meneruskan usaha ini.
“Justeru saya berharap agar rakyat dapat membangunkan tanah NCR masing-masing supaya ia dapat memberi manfaat kepada keluarga dan bukannya bertindak menjualnya kepada orang lain,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
Turut hadir Timbalan Residen Sri Aman Elvis Didit, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood dan Penguasa JTS Bahagian Sri Aman Michaelson Nyisin.
Sejumlah 448 pemilik berdaftar dari Batu Besai/Panggau, Sunga/Bakong/Sungai Lekok, Lingga dan Kampung Baur, Tanjung Bijat, Lingga menerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN.