
SIBU: Sebanyak lapan tan timun laut kering yang melebihi had permit dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Sibu, menjadi rampasan terbesar direkodkan setakat ini.
Dalam operasi tersebut, timun laut kering berkenaan disita untuk siasatan lanjut selepas disyaki melanggar syarat permit yang telah diluluskan.
SFC dalam kenyataan di Facebook rasminya menegaskan, pematuhan terhadap syarat permit amat penting bagi memastikan pengurusan sumber hidupan liar dilaksanakan secara mampan, terkawal dan berkesan.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Foto: Facebook SFC
Beberapa spesies timun laut yang terlibat disenaraikan di bawah Apendiks II serta dilindungi di bawah Ordinan Hidupan Liar 1998, antaranya Holothuria fuscogilva (white teatfish), Holothuria nobilis (black teatfish), Holothuria whitmaei (black teatfish) dan Holothuria lessoni (sandfish).
Penyenaraian ini dibuat berikutan tekanan eksploitasi global yang tinggi akibat permintaan pasaran antarabangsa, di mana timun laut merupakan komoditi bernilai tinggi, terutamanya dalam bentuk produk kering untuk makanan dan perubatan tradisional.
Dari segi biodiversiti, timun laut memainkan peranan penting sebagai “jurutera ekosistem” yang membantu mengitar semula nutrien, memperbaiki kualiti sedimen serta mengekalkan keseimbangan habitat dasar laut seperti terumbu karang dan padang lamun. Kehilangan spesis ini boleh menjejaskan kesihatan ekosistem marin secara keseluruhan.
Oleh itu, gabungan nilai ekonomi yang tinggi, kadar pembiakan yang relatif perlahan, serta kepentingan ekologi yang kritikal telah menyebabkan spesies ini menjadi sasaran perdagangan antarabangsa dan memerlukan kawalan di bawah CITES serta perlindungan tempatan di bawah Ordinan Hidupan Liar 1998, bagi memastikan kelestarian sumber marin untuk jangka panjang.
Orang awam juga digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan hidupan liar kepada pihak berkuasa bagi membantu memperkukuh usaha pemuliharaan dan penguatkuasaan undang-undang.
Oleh Akun Giman