
KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah di sekitar Kuching dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM16.8 juta.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejayaan itu dicapai menerusi dua operasi berasingan hasil risikan dan kerjasama strategik pelbagai pihak.
Menurut beliau, dalam operasi pertama pada 7 April 2026, JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menyerbu sebuah inap desa di Santubong dan menahan seorang lelaki serta seorang wanita tempatan berumur 41 dan 31 tahun.
“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk MDMA seberat 107,524 gram, ketamin (1,283 gram), pil Erimin 5 (180 gram), pil ekstasi (102 gram) dan syabu (28 gram).
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM16,216,450 dan boleh digunakan oleh hampir 16,952 penagih,” katanya dalam sidang media, hari ini.


Beliau menambah, kedua-dua suspek berperanan sebagai pembungkus dan pengedar dadah dengan arahan diterima melalui aplikasi WhatsApp.
“Mereka menerima gaji bulanan RM3,000 serta komisen RM5 bagi setiap paket dadah yang dihasilkan,” jelasnya.
Sindiket tersebut menggunakan premis inap desa sebagai lokasi pembungkusan, manakala bekalan diperoleh daripada rangkaian dalam Kuching dan dipercayai aktif sejak awal April tahun ini.
Semakan rekod mendapati suspek wanita mempunyai tiga kesalahan lampau, namun ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
Dalam operasi itu juga, polis menyita sebuah kenderaan bernilai RM15,000 serta wang tunai RM1,856 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuching pada 20 April lalu atas beberapa pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini ditahan di Penjara Puncak Borneo. Kes akan disebut semula pada 25 Mei depan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan April 2026 Pesuruhjaya Polis Sarawak di IPK Sarawak, hari ini.
Sementara itu, dalam kejayaan kedua pada 19 April 2026, JSJN IPK Sarawak dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan dua lelaki tempatan di Jalan Setia Raja.
“Hasil pemeriksaan menemukan 1,281 katrij vape disyaki mengandungi cecair ganja dengan anggaran berat 3,202.50 gram bernilai RM576,450,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek berumur 28 dan 38 tahun itu bertindak sebagai perantara dan penghantar dadah dengan bayaran RM8,000 bagi setiap penghantaran.
Sindiket tersebut dipercayai aktif sejak November 2025 dengan modus operandi mendapatkan bekalan dari Semenanjung Malaysia sebelum disimpan di inap desa dan diedarkan di Sarawak.

Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga negatif.
Polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM12,000, manakala kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, pelaksanaan pendekatan “Tiada Hari Tanpa Tangkapan” menunjukkan peningkatan ketara apabila 5,151 tangkapan direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 19 April 2026 berbanding 3,728 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
“Nilai rampasan dadah turut meningkat kepada RM31.9 juta berbanding RM3.1 juta tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 913.7 peratus,” katanya.
Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia akan terus memperhebat usaha membanteras sindiket dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membendung jenayah tersebut.
Oleh Norman B