
SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes rogol melibatkan seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) di daerah ini.
Ketua Polis Daerah DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan pada semalam di sebuah rumah panjang di Saratok hasil maklumat yang diterima pihak polis.
Menurut beliau, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 37 tahun selepas anaknya mengadu mengalami kesakitan ketika membuang air kecil.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 13 tahun empat bulan merupakan pelajar tingkatan satu dan tergolong sebagai OKU fizikal.
Katanya, mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa dia didakwa telah dipaksa melakukan perbuatan tersebut oleh suspek yang juga jiran keluarga mereka di kampung.
Suspek yang berstatus duda dan tidak bekerja kini ditahan di lokap Balai Polis Saratok bagi tujuan permohonan reman serta siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang jenayah seksual atau penderaan melibatkan kanak-kanak kepada pihak berkuasa.
Oleh Adi Safarman