KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah memutuskan 76 lokasi di Kuching dikategorikan sebagai Zon Merah. Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN berkata, daripada jumlah itu, sebanyal 20 lokasi adalah di kawasan Samariang dan Taman Sukma.
“18 lokasi di zon satu di Bandar Raya Kuching yang meliputi kawasan Jalan Arang, Stampin, Jalan lapangan Terbang, Jalan Song, Taman BDC dan Jalan Stutong tersenarai sebagai zon merah.
“Turut tersenarai ialah 15 lokasi di Satok termasuk Patingan dan Sungai Maong dan 12 lokasi di kawasan Taman Sri Wangi dan Laruh Skim,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media semalam.
Menurut Uggah, kawasan terbabit diisytiharkan sebagai Zon Merah selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan semalam.
Sementara itu, bagi kawasan Zon Dua Kuching pula, terdapat 10 lokasi merah iaitu di Central Park, Kenny Hill, Tabuan Laru, SMK Seri Setia dan Taman Green Height, katanya. Katanya, di Kota Samarahan pula, terdapat 18 lokasi merah yang dikenalpasti iaitu Jalan Datuk Musa, Desa Ilmu, Tanjung Bundong dan Muara Tuang.
Tambah beliau lagi, kawalan dan pemantauan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19. Kerajaan Sarawak katanya, telah bertindak mengeluarkan perintah kuarantin kepada sesiapa sahaja yang masuk ke Sarawak.
“Mulai 5 April ini, sesiapa sahaja yang tiba melalui darat, udara dan laut ke negeri ini akan di tempatkan di Pusat Kuarantin yang disediakan oleh kerajaan selama 14 hari di lokasi mereka tiba. “Langkah ini diambil kerana didapati kebanyakan kes yang berlaku di Sarawak merupakan kes import,” tegasnya.