SARIKEI: Sebanyak 73 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Parlimen Sarikei menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM285,000 daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, geran MRP itu adalah untuk keperluan aktiviti tahunan organisasi masing-masing.
“Saya berharap geran MRP ini digunakan sebaiknya untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tahunan yang berfaedah.
“Manfaatkan sebaiknya geran MRP ini untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberikan impak positif kepada komuniti setempat,” katanya pada majlis penyerahan geran MRP di Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, di sini hari ini.
Beliau berkata, sokongan padu dari badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu memperkasakan pendidikan dan pembangunan di Sarikei.
“Seperti yang sedia maklum, saya telah menyumbangkan beg sekolah, kasut dan pakaian sekolah kepada pelajar-pelajar di kawasan saya sejak saya jadi wakil rakyat.
“Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban ibu bapa, ia juga merupakan satu inisiatif penting untuk menggalakkan pelajar terus berusaha gigih dalam mencapai kecemerlangan,” katanya.
Oleh Earl Anek