726 kes vandalisme infrastruktur telekomunikasi rugikan Sarawak hampir RM9 juta

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENERANGAN… Dato Sri Julaihi Narawi dan Datuk Ding Koung Hiing mendengar penerangan berkenaan menara SMART. 

BINTANGOR: Sebanyak 726 kes vandalisme melibatkan infrastruktur telekomunikasi direkodkan di seluruh Sarawak sepanjang tahun lalu, mengakibatkan kerugian dianggarkan RM8.99 juta, serta menjejaskan usaha kerajaan memperluaskan liputan telekomunikasi dan internet, khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, daripada jumlah tersebut, 28 kes direkodkan di Bahagian Sarikei dengan anggaran kerugian sebanyak RM314,534.42.

Katanya, kerajaan Sarawak memandang serius kegiatan vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi kerana insiden sedemikian bukan sahaja menyebabkan kerugian besar, malah mengganggu perkhidmatan telekomunikasi penting serta menjejaskan kualiti dan kebolehpercayaan sambungan yang dinikmati orang ramai.

“Melalui Jawatankuasa Anti-Vandalisme yang ditubuhkan oleh kementerian saya, pelbagai usaha termasuk program kesedaran dan inisiatif pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani kegiatan vandalisme dan kecurian yang melibatkan infrastruktur telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak menara SMART Sungai Rayah, bagi meninjau pelaksanaan langkah anti-vandalisme di lokasi tersebut, hari ini.

Katanya, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk melindungi infrastruktur telekomunikasi daripada vandalisme dan kecurian, di samping memperkukuh daya tahan, kebolehpercayaan dan kesinambungan perkhidmatan telekomunikasi di seluruh Sarawak.

“Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah memperkukuh sistem keselamatan di beberapa tapak telekomunikasi yang berdepan insiden vandalisme dan kecurian berulang.

“Di tapak Sungai Rayah, pagar perimeter jenis dawai berantai sedia ada telah dinaik taraf kepada tembok bata yang dilengkapi jaring dawai, manakala pintu masuk sedia ada digantikan dengan pintu keluli tergalvani yang lebih kukuh bagi menghalang pencerobohan tanpa kebenaran, vandalisme dan kecurian,” katanya.

Tambahnya, perlindungan terhadap kemudahan awam seperti infrastruktur telekomunikasi kekal menjadi keutamaan ketika Sarawak terus memperluaskan jaringan digital, khususnya di kawasan luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat liputan.

“Langkah keselamatan yang lebih kukuh akan membantu memastikan perkhidmatan telekomunikasi di seluruh Sarawak kekal stabil, boleh dipercayai dan tidak terganggu.

“Saya menggesa orang ramai agar memainkan peranan masing-masing dalam melindungi infrastruktur telekomunikasi dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Melindungi aset awam ini adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi yang boleh dipercayai dan tidak terganggu dapat dinikmati oleh semua,” katanya.

Lawatan kerja tersebut turut memberi peluang kepada kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), SDEC dan SACOFA menilai keberkesanan langkah keselamatan yang telah dilaksanakan di tapak Sungai Rayah.

Penambahbaikan yang sama turut dipertimbangkan untuk dilaksanakan di tapak telekomunikasi lain yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap vandalisme dan kecurian sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh perlindungan infrastruktur telekomunikasi Sarawak.

Oleh Earl Anek