
SARIKEI: Seramai 68 peserta tadarus al-Quran telah menyertai majlis khatamal al-Quran peserta tadarus dan penyampaian sumbangan khas Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqin di Dewan Muktamar, Masjid Al-Muttaqin, hari ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI), Datuk Len Talif Salleh berkata, daripada jumlah tersebut, 37 adalah peserta lelaki dan 31 peserta perempuan.

“Turut disampaikan sumbangan kepada pekerja LAKISRI dan mereka yang terlibat dengan urusan fardu kifayah.
“Alhamdulillah, apa yang saya kongsikan mengenai membangunkan sebuah bangunan rumah kembar satu tingkat bersebelahan masjid ini melibatkan peruntukan sebanyak RM700,000 di bawah projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Kita juga ucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah bersetuju untuk memberi hak milik tanah bersebelahan masjid ini kepada LAKISRI,” katanya ketika ditemu bual media.
Katanya, ia akan membolehkan LAKISRI memperluas lagi kemudahan di persekitaran masjid tersebut.
“Rumah ini nanti boleh digunakan oleh staf LAKISRI untuk menjalankan aktiviti dan melaksanakan tugas mereka.
“Dalam masa yang sama, kita akan membangunkan kawasan ini supaya ia lebih elok lagi.
“Insya-Allah, dengan adanya peruntukan RM700,000 ini, kita dapat menyiapkan bangunan ini dalam masa dua tahun bermula tahun ini,” katanya.
Turut hadir Temenggung Awangku Ibrahim Awangku Hossein, Pemanca Awang Kenit Pengiran Mohammad, Penghulu Mostapha Hamdan, Pengurus LAKISRI Awangku Suhaili Awangku Mohammad dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqin, Sulaiman Bohari.
Oleh Earl Anek