BAU: Sebanyak 66 sepanduk iklan pemberi pinjaman wang yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah diturunkan menerusi Ops Vulture di sekitar pekan Bau dan Jalan Kuching-Bau, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, operasi yang dijalankan kira-kira 3.00 petang itu melibatkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Bau.
“Sepanduk berkenaan didapati digantung pada tiang elektrik, papan tanda lorong perumahan dan pokok kayu di kawasan terbabit.
“Enam nombor telefon berbeza dikenal pasti pada sepanduk tersebut, dengan jumlah sepanduk bagi setiap nombor antara enam hingga 15 keping,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Haide berkata, satu laporan polis, iaitu Bau/2986/2026, dibuat berhubung operasi berkenaan.
Beliau berkata, operasi itu bertujuan menurunkan iklan yang dipercayai mempromosikan kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah.
Oleh Connie Chieng





