KUCHING: Mereka berminat untuk menyertai pertandingan Miss Stellar Queen International 24/25 (MSQI) dipelawa untuk menghadiri sesi uji bakat pencarian tersebut pada 23 November 2024 (Sabtu) di Aeroville Mall Kuching, bermula 1.00 petang.
Menurut Pengurus Acara Miss Stellar Queen International 24/25, Padila Jiahong, pencarian kali ini menampilkan tiga kategori iaitu Miss Stellar Queen International (usia 18 hingga 34 tahun), Mrs Stellar Queen International (usia 34 tahun ke atas) dan Miss Stellar Plus Queen International (untuk wanita bersaiz besar dengan berat 80kg ke atas – tiada had umur).
“Kali ini pencarian terbuka kepada wanita berusia 18 tahun ke atas, tiada sekatan pada kewarganegaraan dan etnik. Pendaftaran adalah percuma,” jelas Padila sambil menambah kata uji bakat pencarian MSQI turut diadakan di Kuala Lumpur pada 28 Disember 2024 (Sabtu).
Tambahnya, kepada yang berminat hendaklah hadir memakai kemeja-T putih dan seluar jeans hitam.
“Kami menyarankan peserta bersolek secara natural dan menggunakan kasut tumit tinggi berukuran tiga inci ke atas serta tiada menggunakan sebarang aksesori,” jelas beliau yang juga pemilik Biubiu Event & Entertainment.
Padila menjelaskan MSQI bertujuan mencungkil bakat golongan wanita dalam bidang peragaan sekali gus dan memartabatkan budaya Sarawak di mata umum melalui saluran komersial.
“Kami mencari peserta yang berpenampilan berdasarkan ciri seperti berkarisma, berintelek, berbakat (seni), mahir dalam usahawan, mahir berkomunikasi, berketrampilan luas, dan peka dengan persekitaran,” jelasnya.
Tambah Padila, “Sasaran kami sebagai penganjur adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang penampilan, mendedahkan peserta kepada aktiviti amal, dan secara tidak langsung menampilkan peserta yang lebih kepada ‘beauty with purpose’. Kami mementingkan hala tuju peserta selepas pertandingan.”
Miss Stellar Queen International 24/25 dianjurkan oleh DCCP dengan kerjasama Biubiu Event & Entertainment. Kepada mereka yang berminat sila hubungi 012 6916737 dan 019 3746474.