606 peserta manfaat Program MyLesen B2 di Maludam

Facebook
WhatsApp
PESERTA Program MyLesen B2 N.28 Lingga mengikuti taklimat sebelum menjalani Ujian Praktikal JPJ di Dewan Serbaguna Maludam, hari ini. Foto ADUN Lingga

MALUDAM: Seramai 606 peserta menyertai Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen B2 di Maludam, sekali gus membuktikan inisiatif berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan belia hingga warga emas, menunjukkan program berkenaan amat relevan dalam membantu rakyat mendapatkan lesen motosikal yang sah.

Beliau berkata, selain memudahkan masyarakat memperoleh lesen memandu, program itu turut memberi pendedahan mengenai kepentingan keselamatan serta pematuhan terhadap undang-undang jalan raya.

“Program ini bukan sahaja membantu peserta mendapatkan lesen B2, malah meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab dan keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya

Beliau berkata demikian pada Program MyLesen B2 N.28 Lingga di Dewan Serbaguna Maludam, hari ini.

Menurutnya, sambutan yang diterima juga memperlihatkan keperluan berterusan terhadap inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya mereka yang memerlukan lesen motosikal untuk urusan harian.

Dayang Noorazah turut meluangkan masa bersama peserta yang sedang membuat persiapan menghadapi Ujian Praktikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain memberikan kata-kata semangat agar mereka menduduki ujian dengan penuh keyakinan.

“Saya berharap semua peserta dapat menjalani ujian dengan lancar dan seterusnya berjaya memperoleh Lesen Memandu B2. 

“Apa yang lebih penting, sentiasa patuhi peraturan dan utamakan keselamatan ketika menunggang kenderaan,” katanya.

Program berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Ketua Pemuda PBB serta barisan pegawai JPJ, termasuk Ketua Cawangan JPJ Sri Aman, Mohamad Ammir Wahid dan Timbalan Ketua Cawangan JPJ Sri Aman.

Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada JPJ Sri Aman serta seluruh pegawai dan petugas yang terlibat atas kerjasama, komitmen dan usaha memastikan pelaksanaan Program MyLesen B2 N.28 Lingga di Maludam berjalan lancar.

Oleh Adi Safarman