KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 56 pokok Bucida ditanam di sekitar Dataran Canselori sempena ulang tahun Univerisiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang ke-30.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, penanaman pokok itu adalah satu usaha untuk menyumbang kepada pengurangan karbon di kawasan setempat.
“Ia juga menjadi satu ikon bagi kampus kita untuk dilawati pengunjung dan juga pelajar bagi tujuan beriadah,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Festival Ulang Tahun ke-30 UNIMAS di Dataran Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS, hari ini.
Katanya, sehingga kini UNIMAS sudah menanam 20,000 pokok yang bersamaan dengan pengurangan 50,000 tan karbon.
Beliau berkata, selama 30 tahun UNIMAS diwujudkan, ia berjaya menghasilkan 50,000 graduan atau alumni di pelbagai bidang yang telah menempa nama bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa
“Kita juga telah menjalinkan kerjasama di semua benua di dunia dalam beberapa disiplin yang kita membina kekuatan khususnya dalam bidang biodiversiti, tenaga diperbaharui, penglibatan sosial dan sains sosial.
“Kita telah membina kekuatan dan membina jalinan dan kejayaan dalam bidang berkenaan,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Keterangan gambar
KENANGAN… Dr Mohamad Kadim (dua kiri) dan Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Sulong Matjeraie (tiga dari kiri) merakam gambar bersama pokok yang ditanam di sekitar Dataran Canselori Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).