BINTULU: Sebanyak 51 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang di kawasan Jepak menerima peruntukan melalui Program Khas Speaker berjumlah keseluruhan RM510,000.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, pengagihan peruntukan secara adil dan saksama kepada masyarakat luar bandar adalah asas penting dalam memastikan manfaat tersebut dapat dirasai oleh semua pihak.
“Di Jepak, kita mesti memastikan kesaksamaan bagi semua kaum Bumiputera.
“Tidak ada yang lebih berat sebelah, semuanya mesti diberikan secara adil.
“Apa yang diberikan kepada kampung, harus diberikan juga kepada rumah panjang. Tiada pilih kasih, tiada diskriminasi,” katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Sait Jaya di sini, malam tadi.
Selain itu, beliau juga menyeru masyarakat di kawasan tersebut untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti mana yang ditunjukkan pada pilihan raya negeri (PRN) lepas.
“Jangan menyimpang ke kiri, jangan menyimpang ke kanan, mari kita bersatu menyokong GPS,” tegasnya.
Sementara itu, Tuai Rumah Sait Jaya dalam ucapannya turut mengingatkan agar golongan muda sentiasa diberi sokongan dalam pendidikan.
Beliau menekankan bahawa anak muda perlu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau mengikuti latihan vokasional agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran dunia kerja.
“Kita perlu terus mendorong anak-anak muda untuk bersekolah. Pada masa kini, ijazah lebih dihargai berbanding diploma.
“Jika mereka tidak mampu mencapai tahap tersebut, kita boleh menghantar mereka untuk belajar dalam bidang vokasional.
“Dengan latihan praktikal yang diberikan, mereka akan lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih