
MARUDI: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri berperanan sebagai platform untuk merapatkan silaturahim serta memperkukuh hubungan antara kakitangan jabatan dan agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.
Majlis seumpama ini turut memberi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum untuk saling bermaafan, sekali gus menyemai semangat perpaduan.

Dianggarkan seramai 500 penduduk pelbagai kaum di Marudi hadir memeriahkan majlis yang diadakan di Dewan Suarah Marudi, malam tadi.
Majlis ini anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiiviti Islam Marudi (JATAIM) dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Baram.
Pemangku Pegawai Daerah Marudi bagi mewakili Residen Bahagian Miri, Vanessa Joseph ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata majlis ini bukan sekadar satu acara tahunan tetapi adalah manifestasi semangat perpaduan keharmonian masyarakat di daerah ini.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta Jawatankuasa Pengurusan masjid dan surau atas komitmen mereka yang turut sama memeriahkan majlis.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada JKKK Kampung Melayu serta Jawatankuasa masjid dan surau atas penyertaan mereka dalam mempamerkan booth Hari Raya yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni.
Antara kampung dan agensi yang turut serta menjayakan majlis ini ialah Kampung Narum, Kampung Dagang, Kampung Pemindahan, Kampung Dato Zain Galau, gabungan Kampung Lubok Nibong dan Kampung Hizrah, serta Kampung Benawa.
Dalam pertandingan gerai Hari Raya, Majlis Daerah Marudi telah diumumkan sebagai johan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh JKKK Kampung Pemindahan dan Kampung Narum.
Sementara itu, gelaran ‘Baju Terpaling Raya’ bagi kategori lelaki dimenangi oleh Ustaz Fahmi, manakala kategori wanita disandang oleh Aziana.
Turut hadir Pengerusi Pengelola Pengerusi JATAIM, SAO Fazzwan Yunus, Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Nor Aizan Mohd Jamil, Ketua Masyarakat Melayu Marudi Pemanca Jamel Sabil, Setiusaha Majlis Daerah Marudi, Grace Joy Dapit, Pegawai Menguasa JKR Marudi, Norhayty Rawai serta Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum.
Oleh Jiku Juguong