SARATOK: Seramai 4,500 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian menerima bantuan bekalan makanan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang daripada Kerajaan Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jurucakap Pusat Khidmat DUN Kalaka berkata, sehingga semalam 2,500 KIR telah menerima bantuan bekalan makanan masing-masing.
Sehingga semalam, secara keseluruhannya seramai 2,000 KIR masih belum menerima bantuan bekalan makanan tersebut dan dijangka akan diteruskan pada hari ini penghantarannya.
“Pengagihan bantuan ke kawasan DUN Krian ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga hari.
“Setakat hari ini (semalam), lebih 2,500 bantuan telah diagihkan kepada KIR di rumah-rumah panjang dan proses pengagihan berpusat di Dewan Sri Krian,” katanya.
Beliau berkata, agihan bantuan makanan tersebut disalurkan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada setiap kawasan DUN di negeri ini.
“Bagi DUN Krian, Pusat Khidmat DUN Kalaka yang telah menyeliakan penghantaran bantuan makanan ini kepada penduduk disitu bertujuan membantu meringankan bebanan rakyat di sepanjang tempoh PKP,” ujar beliau.
Katanya, Pusat Khidmat DUN Kalaka akan terus menghantar bantuan bekalan makanan tersebut kepada semua KIR di DUN Krian yang masih belum menerimanya.
“Saya berharap bantuan ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban setiap keluarga yang tidak dapat keluar mencari rezeki sepanjang tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini,” ujarnya.
Beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya mematuhi PKP bagi mengekang penularan wabak berbahaya Covid-19.