SHEILA ZAIDI
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 4,495 buah premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac sehingga 19 April lalu.
Jurucakap Pejabat KPDHEP Sarawak berkata, melalui pemeriksaan berkenaan sebanyak 22 kes telah diambil tindakan dengan nilai rampasan sebanyak RM2,451.50 dan jumlah kompaun sebanyak RM1,650.
“Kes-kes ini melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (sembilan kes), Akta Timbang dan Sukat 1972 (tujuh kes), Akta Perlindunggan Pengguna 1999 (dua kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak empat kes.
“Selain itu, sebanyak 44 Notis Pencatutan telah dikeluarkan bagi tempoh 1 Januari hingga 19 April lalu dan daripada jumlah tersebut sebanyak 24 Notis dikeluarkan dalam tempoh PKP berlangsung kerana disyaki berlaku kenaikan harga,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sejak 18 Mac sehingga 19 April lepas KPDNHEP Sarawak telah menerima aduan sebanyak 241 di seluruh negeri.
Katanya, aduan tersebut adalah berkaitan dengan harga penutup hidung dan mulut, hand sanitizer dan keperluan asas lain.
Tambah beliau, sebanyak 130 aduan telah diterima berhubung dengan penutup hidung dan mulut, 14 aduan berkaitan hand sanitizer, aduan dalam talian (45), keperluan asas (58) dan lain-lain aduan sebanyak 58.
Tegasnya, semua aduan yang diterima itu akan disiasat oleh pihak KPDNHEP Sarawak secepat yang mungkin.
“Sekiranya didapati ada peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Jika sabit kesalahan, seorang individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala syarikat atau Pertubuhan Perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000.
“Manakala bagi kesalahan menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barangan yang terkawal yang mengutip deposit selain mengikut harga atau caj-caj yang ditentukan oleh pengawal, mereka juga akan diambil di bawah akta yang sama.
“Sebagai contoh, jika ada peniaga yang menaikan harga penuup hidung dan mulut yang dikawal oleh pihak kementerian dan jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala untuk syarikat atau Pertubuhan Perbadanan pula, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.