BEKENU: Sebanyak 442 kes gangguan seksual dilaporkan berlaku di seluruh negara bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, berbanding 522 kes sepanjang tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata jumlah kes yang dilaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan kedua-dua jantina.
Katanya, PDRM merekodkan sebanyak 506 kes gangguan seksual pada 2021 dan turun sedikit penurunan kepada 477 kes pada 2022 tetapi naik semula kepada 522 kes pada 2023.
Katanya, majoriti mangsa ialah kaum wanita, iaitu sebanyak 439 kes pada tahun 2021, 422 kes pada tahun 2022 dan 460 kes pada tahun 2023.
“Statistik ini menunjukkan bahawa setiap tahun lebih 85 peratus daripada kes gangguan seksual adalah melibatkan mangsa dalam kalangan wanita.
“Bagi negeri Sarawak sendiri, pada 2023, terdapat 20 kes gangguan seksual telah dilaporkan,” katanya berucap pada program Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Masyarakat Bekenu di sini hari ini.
Mengenai kes keganasan rumah tangga, Nancy berkata sehingga Jun lalu, sebanyak 3,629 kes dilaporkan kepada PDRM dan lapan peratus atau 294 kes daripada jumlah itu, berlaku di Sarawak.
Sehubungan itu, katanya, KPWKM telah menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] sebagai undang-undang khusus untuk menangani gangguan seksual.
“Selaras dengan penguatkuasaan mulai 28 Mac 2023, Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual turut diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran dan pencegahan dalam masyarakat.
“Akta 840 dikuatkuasakan sepenuhnya pada 8 Mac 2024 bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024. Pada tarikh tersebut, Tribunal bagi Antigangguan Seksual juga mula beroperasi.
“Tribunal ini sebagai saluran alternatif bagi mangsa untuk membuat aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah, dan kos minimum,” katanya.
Nancy berkata, tiga kes aduan sudah berjaya diselesaikan oleh Tribunal Antigangguan Seksual sejak beroperasi Mac lalu.
Katanya, dua aduan melibatkan hubungan majikan-pekerja di sektor swasta dengan gangguan seksual secara fizikal dan secara lisan.
“Satu lagi aduan adalah antara bekas teman lelaki dan bekas teman wanita dengan gangguan seksual secara visual,” katanya dan menambah bahawa lokasi kejadian aduan ialah satu di Negeri Sembilan dan dua di Kuala Lumpur.
Beliau berkata berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan oleh pihak terbabit, panel tribunal telah menerima aduan yang memihak kepada pengadu, manakala satu lagi aduan ditolak kerana kekurangan bukti.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit.
Oleh Adum Liu