PETRA JAYA: Sebanyak 44 pasukan terbaik dari lima negara bakal berentap dalam Piala Tarian Naga dan Singa Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung pada 8 dan 9 Ogos ini di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan memasuki edisi ketiga itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara kebudayaan dan sukan paling dinanti-nantikan di Sarawak.
Katanya, kejohanan anjuran Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina (CMAA) dengan pengiktirafan Persekutuan Tarian Naga dan Singa Malaysia itu turut mendapat sokongan kementeriannya sebagai platform mempromosikan warisan budaya serta pelancongan negeri.
“Sebanyak 44 pasukan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan China akan bersaing dalam empat kategori iaitu Tarian Singa Utara, Tarian Singa Selatan Tiang Tinggi, Tarian Naga Tradisional dan Tarian Naga Bercahaya.
“Kehadiran juara dunia Tarian Naga Bercahaya dari Johor serta juara bertahan Tarian Singa Selatan Tiang Tinggi dari China dijangka menjadikan persaingan kali ini lebih sengit dan menarik,” katanya pada sidang media kejohanan itu di Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini.
Abdul Karim berkata, beliau turut berbangga apabila pasukan Tarian Singa Utara CMAA Sarawak akan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu menerusi persembahan unik yang menggabungkan tarian Ngajat dan alunan muzik sape.
Menurutnya, gabungan elemen budaya itu merupakan yang pertama dipersembahkan dalam pertandingan tarian singa di Malaysia dan telah membolehkan pasukan berkenaan mewakili negara ke Piala Sanya di Hainan, China, sekali gus meraih pingat gangsa pada Januari lalu.
Beliau berkata, selain menjadi medan pertandingan, kejohanan berkenaan turut berfungsi sebagai platform pertukaran budaya, mengeratkan persahabatan antarabangsa serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, keunikan Sarawak terserlah apabila sukan tarian naga dan singa bukan sahaja disertai masyarakat Cina, malah turut mendapat penyertaan pelbagai kaum lain.
Katanya, pasukan dari Mukah dan Dalat misalnya dianggotai kira-kira 80 peratus peserta daripada kaum Melanau, Dayak dan Melayu, manakala kebanyakan ahli pasukan dari Sabah pula terdiri daripada etnik Kadazan.
“Ini membuktikan tarian naga dan singa bukan lagi milik satu kaum, sebaliknya telah berkembang menjadi platform yang menyatukan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat



