

KUCHING: Seramai 43 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 menerusi beberapa siri serbuan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini bermula semalam sehingga hari ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak, operasi bersepadu tersebut dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching bermula dari awal pagi hingga lewat malam di beberapa lokasi tumpuan warga asing.
Operasi pertama dijalankan di Jeti Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjong Bako selepas pihak penguat kuasa mengesan kehadiran sejumlah warga asing yang dipercayai telah lama berada di kawasan berkenaan.
Serbuan itu turut mendapat kerjasama pegawai daripada LKIM dan hasil pemeriksaan mendapati beberapa individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta pasport yang sah.


Pada sebelah petang, operasi diteruskan di dua rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Jaya Bakti dan Kampung Sungai Batu, dipercayai menjadi lokasi penempatan pekerja binaan warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu dipercayai bekerja tanpa permit serta tidak memiliki dokumen sah untuk berada di negara ini sebelum mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, operasi pada sebelah malam tertumpu di rumah pekerja dan bilik sewa di Lee Ling Commercial Centre, kawasan perniagaan Pines Square Batu Kawa serta Taman Hui Sing yang dikenal pasti dihuni warga asing.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen negara.
JIM Sarawak menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan warga asing di negeri ini mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Oleh Adi Safarman