BEKENU: Seramai 43 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, menerima insentif berjumlah keseluruhan RM10,700 sebagai penggalak kepada pembelajaran mereka.
SMK Bekenu turut mencatat sejarah sendiri apabila tersenarai di kedudukan 18 sekolah-sekolah di Sarawak yang mencapai 100 peratus pelajar layak menerima sijil SPM 2023.
Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus memohon pihak SMK Bekenu untuk berusaha lebih gigih dalam menaikkan sasaran pencapaian kecemerlangan untuk keputusan SPM 2024 kelak.
“Sebab untuk mencapai satu kecemerlangan kita tidak boleh berada di takuk lama dan sasaran pencapaian juga akan berubah.
“Kalau hari ini lebih baik daripada kelmarin, esok seperti hendaknya jauh lebih baik daripada hari ini,” katanya pada majlis pengumuman Analisis SPM 2023 dan penyerahan insentif SPM SMK Bekenu, hari ini.
Beliau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu pada masa sama, menyasarkan tahun depan untuk mempertingkatkan jumlah pelajar cemerlang.
“Tahniah saya ucapkan kepada guru-guru telah mendidik anak-anak mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM 2023.
“Tahniah juga kepada ibu bapa telah memainkan peranan yang sangat penting ketika bersama anak-anak berada di rumah dan memberi komitmen dalam pelajaran mereka.
“Ini juga menunjukkan komunikasi antara guru, ibu dan bapa dalam Persatuan Guru dan Ibu bapa (PIBG) sehingga anak-anak mencapai keputusan cemerlang seperti yang kita lihat hari ini,” jelasnya.
Pada majlis itu, Rosey turut mengumumkan sumbangan insentif berjumlah RM10,700 itu untuk pelajar cemerlang 2023, RM4,000 meraikan kejayaan sekolah dan RM2,000 pula untuk pesta sekolah.
Utusan Sarawak dimaklumkan bahawa mana-mana pelajar yang mendapat keputusan A akan menerima RM100 untuk setiap satu mata pelajaran.
Untuk rekod, bagi keputusan SPM 2023, dua pelajar peroleh lebih 8A, seorang (6A), 2 (5A), tiga (4A) dan lapan (3A).
keputusan SPM 2023 sekolah itu terdapat dua
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Subis Rahayu Deli, Pengetua SMK Bekenu Darmah Mudin dan Pemanca Dr Ali Mudin serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Oleh Adum Liu