KUCHING : Kerajaan Persektuan memberi jaminan bahawa sebanyak 40,000 kit ujian Covid-19 akan dibekalkan ke Sarawak menggunakan pesawat Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) dalam masa terdekat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara ini telah di beritahu sendiri oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba semasa mengadakan lawatan kerja ke negeri ini Ahad lalu.
“Kita di peringkat negeri telah menyuarakan tentang keperluan lebih banyak kit ujian untuk Covid-19 dan beliau bersetuju untuk membekalkan kepada kita.
“Kerajaan Persekutuan juga akan turut menghantar dua buah mesin PCR memandangkan hanya di Kuching dan Sibu yang mempunyai mesin ini,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media semalam.
Menurut Sim, antara perkara lain yang dibincangkan bersama dengan Menteri ialah berkenaan dengan kekurangan salah satu Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) iaitu topeng muka jenis N95 untuk petugas kesihatan di negeri ini.
Namun, beliau (Menteri) memberitahu bahawa kekurangan bekalan topeng muka N95 ini bukan hanya berlaku di Sarawak tetapi di seluruh dunia tetapi pihaknya akan berusaha untuk mengatasi masalah ini.
Sementara itu, kata Sim, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dalam satu taklimat memaklumkan bahawa pihaknya hanya mempunyai bekalan topeng muka untuk digunakan selama 29 hari sahaja lagi.
Bagaimanapun, pihaknya akan mencari alternatif lain bagi menggantikan topeng muka ini memandangkan kekurangan bekalan tidak dapat dielakkan, beritahu Sim.
“Kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas kunjungan ke Sarawak dan meninjau keadaan kita di sini dalam memerangi wabak Covid-19.
“Walaupun perkara berhubung kesihatan sebenarnya adalah di bawah tanggungjawab Persekutuan, mereka memuji tindakan serta langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang sama-sama membantu dalam situasi yang sukar ini,” ujarnya.