400 pelajar SMK Hajah Laila Taib sertai program cegah buli

Facebook
WhatsApp
CEGAH BULI… Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Abang Ismawi Abang Ali bergambar bersama peserta Program Inisiatif Bandar Mesra Komuniti (CFCI) ‘Satu Suara Menentang Buli’ di SMK Hajah Laila Taib, Kota Samarahan. Foto MPKS

KOTA SAMARAHAN: Kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai bahaya dan kesan gejala buli terus diperkasa menerusi Program Inisiatif Bandar Mesra Komuniti (CFCI) bertajuk ‘Satu Suara Menentang Buli’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hajah Laila Taib, Asajaya, semalam.

Program anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan dan SMK Hajah Laila Taib itu disertai kira-kira 400 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat.

Program yang bermula pada jam 9 pagi itu bertujuan memberikan kefahaman kepada pelajar mengenai kesan gejala buli serta kepentingan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, harmoni dan bebas daripada gejala tersebut.

Antara pengisian utama program ialah ceramah bertajuk ‘Satu Suara Menentang Buli: Membina Sekolah Sejahtera’ yang disampaikan oleh Dr Abang Syukri Abang Muis dari JPNS.

Ceramah berkenaan menekankan peranan seluruh warga sekolah dalam mencegah gejala buli, selain menggalakkan pelajar tampil bersuara sekiranya menyaksikan atau menjadi mangsa kejadian buli.

Turut diadakan ceramah oleh Sarjan Mejar Annason George Bunti dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerangkan kesan buli terhadap mangsa, termasuk kecederaan fizikal, gangguan emosi dan psikologi, kehilangan keyakinan diri serta kemerosotan prestasi akademik.

Pelajar turut diberi penerangan bahawa perbuatan buli bukan sahaja boleh dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah, malah pelaku juga boleh berdepan tindakan undang-undang bergantung pada jenis kesalahan yang dilakukan.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi MPKS, Cr Abang Ismawi Abang Ali.

Turut hadir ialah Setiausaha Perbandaran MPKS, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNS, wakil PPD Samarahan, Pengetua SMK Hajah Laila Taib, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Ahli Majlis MPKS, Ahli Majlis Kanak-Kanak, guru serta warga kerja MPKS.

Program berkenaan diharap dapat membentuk kesedaran dalam kalangan pelajar dan warga sekolah bahawa buli bukan budaya yang wajar diterima atau dinormalisasikan. Sebaliknya, setiap warga sekolah mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, prihatin dan inklusif.

Oleh Shikin Mahmud