BELAGA: Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang di Uma Aging Baru Belaga, dalam satu kebakaran, sekitar 9.30 pagi semalam.
Jurucakap dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat menerusi panggilan telefon dari PBK II Winston Tan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu berkenaan dengan kebakaran rumah panjang tersebut.
“PBK II Winston lapor, beliau menerima maklumat berkenaan melalui WhatsApp SM Sulun Balai Polis Belaga,” katanya.
Katanya, menurut laporan Abu Talip Pengerusi Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Pekan Belaga, kebakaran berlaku sekitar 9.30 pagi dan hanya menerima panggilan pada 10.00 pagi.
“Beliau bersama seorang lagi anggota PBS Jamaludin Haris bergerak dan sampai ke lokasi pada 10.15 pagi.
“Setiba di lokasi, kebakaran hanya melibatkan sebaris empat (4) rumah kediaman sementara jenis tidak kekal,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan PBS Pekan Belaga bersama penduduk kampung memadamkan bara api yang masih menyala bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan bangunan berdekatan.
Kebakaran tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Ellie Edward