

TERIMA KASIH… Datuk Len Talif Salleh menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan bulanan JKM. Foto UKAS
SARIKEI: Sejumlah keseluruhan RM37,600 disumbangkan kepada 376 penerima bantuan bulanan kebajikan yang beragama Islam untuk majlis Sejambak Kasih Hari Raya 2025 bagi Bahagian Sarikei.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, program tersebut merupakan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sarikei.
“Namun majlis pada hari ini, berdasarkan kemampuan fizikal dan mobiliti penerima, kita hanya dapat menjemput seramai 100 penerima.
“Manakala penerima yang lain akan menerima nilai sumbangan yang sama melalui akaun bank untuk meringankan sedikit sebanyak beban dan menggembirakan klien setibanya musim perayaan utama umat Islam ini.
“Jumlah peruntukan yang dibelanjakan untuk tujuan penyaluran sumbangan ini adalah berjumlah RM 37,600,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Dewan Al-Muttaqin, hari ini.

Katanya, objektif program adalah untuk meringankan beban kewangan para penerima bantuan yang menyambut perayaan Aidilfitri.
“Pihak JKM Bahagian Sarikei hari ini memberikan sumbangan berupa wang tunai bernilai RM100 di samping tambahan hamper bernilai RM80 untuk menceriakan penerima bantuan kebajikan bulanan yang melibatkan pelbagai skim bantuan.
“Sumbangan ini amat bermakna kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya dengan konsep, ‘The more you give the more you get back’.
“Usaha yang kita lakukan pada pagi ini, sedikit sebanyak dapat menceriakan golongan yang diraikan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan sememangnya sentiasa prihatin dengan rakyat, oleh itu setiap agensi harus bersama berganding bahu untuk menyalurkan pelbagai bantuan dan perkhidmatan melalui jabatan atau agensi yang mempunyai multifungsi sesuai dengan matlamat penubuhan jabatan.
“Seiring dengan objektif seterusnya penganjuran majlis ini iaitu mengeratkan hubungan antara ketua kaum dan penduduk, maka adalah penting buat para ketua masyarakat untuk memainkan peranan sebagai penghubung kepada organisasi kerajaan.
“Sudah pasti, ada lagi masyarakat luar sana yang masih memerlukan sokongan dan bantuan daripada JKM ini.
“Majlis seumpama ini, sesungguhnya memberi manfaat kepada rakyat dalam membantu meringankan beban kos persiapan detik-detik menyambut tibanya Aidilfitri dan jelaslah ini adalah antara usaha kerajaan yang memberikan tanggungjawab dalam memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum,” katanya lagi.
Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Sarikei, Ainur Yazmin; Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei, Uwieng Gimos dan Temenggung Awgku Ibrahim Awgku Hosain.
Oleh Earl Anek