
BINTANGOR: Seramai 37 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong diraikan dalam majlis penyerahan insentif Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka, semalam.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang turut meluangkan masa bersama para pelajar, guru dan ibu bapa.
Katanya, insentif yang diserahkan kepada para pelajar cemerlang juga adalah sebagai satu bentuk motivasi kepada pelajar lain di sekolah tersebut.
“Insentif ini bukan sahaja sebagai ganjaran, tetapi juga sebagai motivasi kepada pelajar lain, khususnya pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 agar terus berusaha mencapai kecemerlangan.
“Kejayaan yang dicapai oleh para pelajar ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan wajar diberikan pengiktirafan sebagai galakan untuk terus maju dalam bidang akademik,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas usaha menganjurkan majlis dan menyediakan platform bagi menghargai kecemerlangan pelajar.
Koung Hiing juga menegaskan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Para pelajar digalakkan untuk menceburi bidang STEM sejajar dengan perkembangan dunia yang semakin berasaskan teknologi dan inovasi.
“Kerajaan Sarawak memberi fokus kepada pembangunan ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau yang membuka peluang luas kepada generasi muda.
“Bermula tahun ini, kerajaan Sarawak akan melaksanakan inisiatif pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak dalam bidang strategik seperti STEM, perubatan, kewangan, perakaunan dan undang-undang,” katanya.
Turut hadir, Pengetua SMK Meradong, Poh Chie Teck serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Meradong, Cherida Igu.
Oleh Earl Anek