BEKENU: Seramai 36 pelajar terdiri daripada anak yatim, dan asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu terima sumbangan sempena Ramadan di sini, malam tadi.
Penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee.
Annuar ketika ditemui Utusan Sarawak berkata, sumbangan itu untuk anak yatim, dan asnaf serta berbuka puasa bersama mereka, dan warga pengajar SMK Bekenu.
“Sumbangan ini merupakan anjuran Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak untuk membantu anak- anak yatim, dan golongan asnaf yang memerlukan bantuan kewangan khususnya bagi menampung perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa di SMK Bekenu, malam tadi.
Pada majlis itu, beliau sempat melawat dan meninjau keadaan bumbung salah satu bangunan sekolah yang rosak agak bahaya kepada warga di sekolah.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Pemanca Dr Ali Mudin, dan ketua-ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu