340 saman dikeluarkan, 128 motosikal disita dalam Op Motosikal di Bintulu

Facebook
WhatsApp
PENUNGGANG motosikal dikumpulkan bagi tujuan pemeriksaan dokumen dan penguatkuasaan semasa Operasi Bersepadu (Op Motosikal) oleh BSPT IPD Bintulu. Foto IPD Bintulu

BINTULU: Sebanyak 340 saman dikeluarkan manakala 128 motosikal disita dalam Operasi Bersepadu (Op Motosikal) yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bersama beberapa cawangan lain di sekitar Jalan Jambatan Tun Taib Mahmud, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, operasi yang dijalankan dari 11.00 malam pada Sabtu lalu hingga 5.00 pagi semalam itu melibatkan pemeriksaan terhadap 128 motosikal serta 145 individu.

Menurutnya, hasil operasi berkenaan menyaksikan sebanyak 340 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ANTARA penunggang motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan semasa Operasi Bersepadu (Op Motosikal) di sekitar Jalan Jambatan Tun Taib Mahmud, Bintulu. Foto IPD Bintulu

“Antara kesalahan utama yang dikesan ialah pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut spesifikasi, iaitu sebanyak 178 kes, diikuti penggunaan ekzos yang diubah suai (56 kes), cermin sisi yang tidak mematuhi spesifikasi (37 kes) serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi (37 kes).

“Turut dikesan ialah pelbagai kesalahan lain membabitkan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain mengeluarkan saman, sebanyak 128 motosikal turut disita bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta membanteras kegiatan samseng jalanan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

SEBAHAGIAN daripada 128 motosikal yang diperiksa dan disita dalam Operasi Bersepadu (Op Motosikal) yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Bintulu di Jalan Jambatan Tun Taib Mahmud. Foto IPD Bintulu

“PDRM akan terus mempergiat operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan terhadap undang-undang lalu lintas sentiasa berada pada tahap yang tinggi, sekali gus mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat dan terkawal,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat serta tidak melakukan sebarang pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan atau perlumbaan haram kepada mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Bintulu bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera.