KUCHING: Warga Malaysia seramai 33 orang berasa lega dan gembira kerana akhirnya dapat kembali ke tanah air apabila mereka menunggu menaiki pesawat jam 5 petang waktu tempatan.
Penerbangan ini akan berhenti di Dubai sebelum menuju ke Kuala Lumpur pada 24 Jun.
Mereka telah terkandas selama beberapa bulan akibat wabak Covid 19 yang mengakibatkan semua penerbangan dibatalkan di seluruh dunia dan warga Malaysia berjumlah 50 orang kesemuanya telah hilang kesabaran.
Keadaan mereka diwar-warkan oleh jurutera dasar laut, Malcolm Goh yang terkandas selama 137 hari meminta bantuan pihak berkuasa menerusi laman media sosialnya awal bulan ini.
Goh berkata terdapat 12 warga Sarawak bersamanya dan dia berasa bimbang mereka akan mengalami masalah mental akibat terpaksa menunggu begitu lama untuk dibawa pulang ke tanah air.
Beberapa hari yang lepas, Goh berasa gembira kerana mendapat tiket penerbangannya bersama dengan 32 warga Malaysia yang lain tetapi berasa kecewa kerana mereka yang berada di luar Lagos, Nigeria tidak dapat pulang ke tanah air bersama kerana mereka cuma diberitahu berkenaan dengan penerbangan tersebut di saat akhir.
Goh berkata terdapat satu lagi penerbangan pada 25 Jun yang membawa warga Vietnam yang terkandas di Douala, Cameroon ke Lagos sebelum ke Kuala Lumpur.
Beliau berharap warga Malaysia ini akan dapat kembali juga.
Kerajaan Sarawak bersama dengan kerajaan persekutuan telah meminta bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nigeria untuk meminta kelulusan daripada kerajaan Nigeria untuk membenarkan warga Malaysia itu pulang ke tanah air.
Goh berterima kasih kepada pihak berkuasa yang membantu membawa mereka pulang.
Oleh Connie Chieng