
PAKAN: Seramai 33 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan jumlah keseluruhan RM400,000.
Hadir bagi menyerahkan geran MRP kepada penerima di Bilik Serbaguna Pejabat Daerah Pakan hari ini ialah Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa rakyat perlu merasai kemajuan yang sedang giat dilaksanakan kerajaan.
“Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan negeri dan rakyat mesti merasai kemajuan ini,” katanya.
Beliau turut menggesa agar Biro Wanita di setiap kampung terus aktif dan bekerjasama rapat dengan JKKK dalam usaha memperkasakan komuniti.
“Biro Wanita memainkan peranan penting dalam membantu JKKK, bukan sahaja dalam urusan pentadbiran, malah dalam mendorong pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Mawan turut menggalakkan penduduk memanfaatkan jalan kebun sekiranya sudah dibina, memandangkan ia mampu meningkatkan tahap ekonomi masyarakat luar bandar.
Selain itu, beliau menyarankan agar komuniti tempatan bijak menggunakan platform digital untuk memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
“Gunakan pengetahuan baharu dan berinteraksi dengan agensi kerajaan bagi mendapatkan maklum balas serta peluang baharu.
“Dana yang disediakan kerajaan ini amat bermakna besar kepada rakyat, khususnya kepada Biro Wanita dalam menjayakan transformasi pembangunan luar bandar,” katanya.
Penyerahan geran MRP tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara inklusif dan mampan.
Oleh Earl Anek