
BINTANGOR: Seramai 31 Ahli Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) mengangkat sumpah jawatan bagi penggal baharu yang bermula 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028, menandakan komitmen baharu dalam usaha memperkukuhkan sistem penyampaian kerajaan tempatan.
Daripada jumlah tersebut, 21 ahli majlis termasuk Pengerusi MDMJ, Thomas Geoffrey Kendawang dilantik semula, manakala 10 lagi merupakan muka baharu.
Majlis angkat sumpah yang diadakan di Bilik Persidangan MDMJ itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Dalam ucapannya, Michael Tiang menekankan kepentingan MDMJ sebagai salah satu entiti pentadbiran utama di Bahagian Sarikei.
“MDMJ merangkumi tiga daerah utama iaitu Meradong, Julau dan Pakan. Walaupun berbeza dari segi geografi dan latar belakang masyarakat, ketiga-tiga daerah ini berkongsi aspirasi sama — membangunkan kawasan masing-masing secara holistik dan inklusif agar tiada yang tercicir daripada arus kemajuan negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan ahli majlis perlu selari dengan dasar dan inisiatif Pelan Strategik MDMJ, yang turut menyokong visi Kementerian serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
“Ahli-ahli majlis memainkan peranan penting sebagai wakil masyarakat dalam menyuarakan isu dan aduan kepada pihak majlis. Mereka juga berfungsi sebagai mata dan telinga PBT di peringkat komuniti, memastikan suara rakyat didengari dalam setiap keputusan yang dibuat,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, ahli majlis perlu menjadi penggerak masyarakat dengan menggalakkan penglibatan orang ramai dalam setiap program dan aktiviti anjuran majlis.
“Kerjasama erat bersama pentadbiran majlis, agensi kerajaan serta komuniti tempatan amat penting bagi memperkukuhkan tadbir urus dan mutu perkhidmatan di semua peringkat,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh mengenai keperluan transformasi digital dalam pentadbiran kerajaan tempatan.
“Walaupun cabaran untuk beralih daripada bahan bercetak kepada digital bukan mudah, ia adalah keperluan semasa.
“Justeru, ahli majlis dan PBT harus memanfaatkan teknologi digital dalam mempertingkat daya saing bandar dan pekan, selaras dengan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mentransformasikan Sarawak ke arah digitalisasi sepenuhnya,” katanya.
Michael Tiang pada akhir ucapannya, turut menyatakan keyakinan bahawa ahli-ahli majlis adalah gandingan penting ke arah menjadikan Meradong dan Julau sebagai daerah yang lebih maju, bersih, selamat dan berdaya saing.
Oleh Earl Anek