KUCHING: Perkhidmatan bas sekolah percuma bakal dinikmati oleh 3,000 pelajar dari 32 sekolah di sekitar Kuching, Samarahan dan Padawan mulai 3 Ogos ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata inisitif kerajaan Sarawak itu bertujuan untuk membantu masyarakat khasnya mereka tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah.
“Dengan perkhidmatan bas sekolah percuma ini para pelajar boleh pergi ke sekolah pada bila-bila masa mengikut jadual yang ditetapkan,
“Bas sekolah ini percuma jadi ibu bapa tidak perlu membayar lagi dan boleh berjimat RM100 hingga RM200 sebulan untuk membayar perhidmatan bas sekolah sebelum ini,” katanya semasa melancarkan Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma di SMA Creative Heritage Innovation Centre, Bangunan Yayasan Sarawak, Jalan Masjid di sini semalam.
Beliau mengakui keprihatinan kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak terhadap pembangunan generasi muda bermula dari hari pertama mereka memulakan alam persekolahan lagi seperti bantuan pakaian seragam sehinggalah bantuan biasiswa serta bantuan kewangan untuk mereka belajar ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya bantuan logistik iaitu perkhidmatan bas sekolah percuma berkenaan.
Meyakinkan perkhidmatan bas sekolah percuma yang diilhamkannya melalui Belanjawan 2020 tahun lalu akan berjalan dengan lancar hingga dapat diteruskan ke bahagian seperti Sibu, Bintulu dan Miri, Abang Johari optimis pertumbuhan jumlah penduduk akan mendorong kejayaan inisiatif tersebut.
Dalam pada itu, Abang Johari menyeru rakyat untuk menggunakan perkhidmatan bas awam yang telah disubsidi oleh kerajaan agar setiap perjalanan hanya dikenakan tambang RM1 ke mana-mana destinasi di dalam setiap bandar di negeri ini.
“Sekarang RM1 di mana-mana kitak nak pergi…Kuching-Serian pun seringgit…jadi banyak orang pakai bas, kalau nak berjimat pakai lah bas,” katanya subsidi berkenaan adalah untuk membantu rakyat.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Prof Dato’ Sri Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin,Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.
Oleh Diyana Samsuddin