KUCHING: Hampir 3,000 individu akan dikesan melalui aktiviti pengesanan secara aktif (ACD) di dua lokasi iaitu di Taman Desa llmu dan Taman Unigarden di Kota Samarahan, mulai hari ini (Isnin).
Menteri Kesihatan, Dato Sri Dr Adham Baba berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) melalui Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan akan menjalankan ACD tersebut pada 27 hingga 30 April 2020.
“ACD ini akan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Pejabat Residen Bahagian Samarahan, PDRM, RELA, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak dan lain-lain.
“Melalui kaedah ini, kita mengemukakan cadangan supaya ia dipanggil sasaran Perintah Kawalan Pergerakan (targeted MCO) kerana kita mensasarkan aktiviti ini kepada kes yang telah dikesan sebagai kontak oleh kes positif sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Covid-19 Sarawak di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan di sini, semalam.
Jelasnya, bagi kes yang didapati mempunyai gejala, kes akan terus diasingkan. Manakala mereka yang tidak bergejala, kita akan ambil sampel melalui ujian swab,” ujarnya.
Beliau menambah mereka akan menyediakan 50 pasukan dengan 100 anggota iaitu satu pasukan mempunyai dua anggota untuk mengendalikan proses saringan ataupun proses mengenalpasti kes aktif tersebut.
“Kaedah ini akan dijalankan melalui rumah ke rumah, dan setakat ini berdasarkan maklumat dengan kawasan yang terlibat, hampir 3000 individu yang kita cuba kesan melalui kes yang dikenalpasti sebelum ini,” kata beliau.