Yang di-Pertua Negeri Sarawak terima kunjungan Panglima Angkatan Tentera

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN…Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera di Astana Negeri Sarawak, Kuching, hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Kunjungan itu merupakan sesi perkenalan rasmi pertama Malek Razak selepas dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24 berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, kedua-dua pihak membincangkan beberapa perkara berkaitan keselamatan, pertahanan serta kepentingan strategik Sarawak.

CENDERAHATI…Yang di-Pertua Negeri Sarawak menerima cenderahati daripada Panglima Angkatan Tentera sempena kunjungan hormat di Astana Negeri Sarawak, Kuching, hari ini. Foto UKAS

Tun Dr. Wan Junaidi antaranya menekankan keperluan memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia, termasuk menangani lebih 80 laluan tidak sah yang berpotensi digunakan bagi kegiatan rentas sempadan.

Beliau turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan perairan Sarawak, khususnya di Bintulu, termasuk pertimbangan terhadap cadangan mewujudkan pangkalan tentera laut mengambil kira kepentingan strategik kawasan berkenaan.

Selain itu, pertemuan berkenaan turut menyentuh kerjasama serantau dalam menangani isu jerebu rentas sempadan serta keperluan meningkatkan kesiapsiagaan, perkongsian maklumat dan penyelarasan antara agensi berkaitan.

Tun Dr. Wan Junaidi turut menekankan kepentingan meningkatkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk penguasaan teknologi dan inovasi pertahanan bagi memperkukuh keupayaan negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran luar.

Pada kunjungan itu, kedua-dua pihak turut bertukar cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan.

Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; isteri Panglima Angkatan Tentera, Puan Sri Datin Seri Siti Juana Md Ibrahim; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof bersama isteri, Noor Hamiza Suhami serta pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.